Pages

Tuesday, May 29, 2012

Bukit Bunuh Fantasi Atau Realiti ?

Bila Bukit Bunuh dijadikan cerita dalam Drama Indra Joned (tak pasti benarkah lokasi juga di Bukit Bunuh, sebab tempat berkenaan kini adalah ladang kelapa sawit) tiba -tiba aku teringat Noor Zihan atau nama panggilan Anne yang berasal dai Lenggong, Perak sebab Bukit Bunuh ni terletak dalam Daerah Lenggong. Sebab berapa kali aku belajar sebut Lenggong dari Anne tapi tak pandai-pandai. Anne satu bilik dengan Kak Chik masa kita semester 1 dan mendiami Kolej Kediaman Pernas kan ?

Kalau ikut cerita, sebagaimana babak awal Drama Indra Joned atau dalam versi omputihnya Indra Jones, nama Bukit Bunuh dikaitkan dengan kisah bagaimana seorang lelaki pertengahan usia yang bermimpi bahawa dia perlu membunuh isterinya untuk mendapat harta dan menjadi kaya.Terpengaruh dengan mimpinya, dia telah memilih tempat untuk membunuh isterinya di sebuah kawasan hutan terpencil di atas bukit yang bersempadan dengan lembah yang agak luas.

Macam biasa hebohlah penduduk kampung dengan rancangan lelaki separuh usia itu dan kerelaan isterinya untuk dikorbankan semata-mata kerana mahu suaminya menjadi kaya dan dipandang tinggi di mata orang kampung.(Anda ada berani? harus berparang hukumnya!)Rancangan itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan kerana ketika si isteri sedang mandi berlimau (mandi dengan perahan air limau sebelum dibunuh) di tepi sungai, dia ternampak tempayan emas sedang hanyut. Lalu diambilnya tempayan itu dan diberikan kepada suaminya. Rancangan membunuh dibatalkan dan kekallah suami isteri itu sebagai orang kaya kerana sudah berharta.

Namun Bukit Bunuh ni sudah terkenal sebelum Indra Joned tersesat di sini lagi, sebab ia telah di sahkan sebagai tapak Zaman Paleolitik tertua di dunia yang berada di luar Afrika. Tapak ini berkeluasan 4 km persegi dengan bertarikhkan lebih 1.83 juta tahun dahulu.Paling menarik, di tempat inilah satu-satunya tapak Paleolitik dunia yang berfungsi sebagai bengkel membuat alat batu hasil penemuan kapak genggam di sini.

Secara logiknya sesuatu kawasan akan menjadi petempatan jika punya sumber alam yang cukup banyak tentulah untuk mengisi perut dan membuat peralatan dari batu bau, sebab zaman dulu mereka tak kisah petempatan tu sesuai buat shopping complex ke apa kan? 
Tapi petempatan itu telah musnah akibat jatuhan meteorit pada 1.83 juta tahun dahulu dan ini dibuktikan  secara geomorfologi dengan kehadiran batuan suevit dan geologi kawasan.

Bila ada yang membincangkan di mukabuku, jika benar orang-orang Paleolitik mengupah Indra Joned menjaga harta tinggalan mereka, mengapa pakaian mereka jauh berbeza ? Mungkin ketika itu teknologi mereka jauh lebih canggih dari kita sebab boleh menghubungi manusia pada abad masa depan untuk meninggalkan wasiat. Agak-agak berapa banyak orang-orang Zaman Paleolitik bayar Indra Joned untuk jaga harta diaorang? Agak-agak ? Emm.... nama pun drama, boleh gabungkan pelbagai elemen. 

Tapi yang pasti drama ini akan buat orang mencari benarkah Bukit Bunuh wujud dalam alam realiti. Sebab kita selalu tak nampak apa yang kita ada, apa yang ada disekeliling kita tanpa diwujudkan berlakunya sesuatu peristiwa atau pengkisahan yang buat kita mencari. 

Entry ini buat saya teringatkan Anne, lalu saya mencari-cari gambar lama Anne dalam album kampus. Yes! Saya menemuinya. Ingat tak tidur kat Pudu Raya di bulan Puasa 10 tahun sudah?


Friday, May 25, 2012

Kucing Kampung Dan Aura

Kalau nak tahu kita ni punya aura yang baik, tanyalah kucing kampung. "Kucing! Kucing! aura aku ni baik ke buruk ?" Pasti kucing tu akan balas "Meowwww!" Confirm! Mungkin juga kita akan dapat penangan di cakar saudara mara harimau ni. 

Saya mahu berkongsi tentang buku tulisan Dr. Tuah Iskandar tentang kucing yang mungkin memiliki adik beradik ilmu kasaf sebab ia melihat tidak seperti kita melihat. Cara untuk mengetahui aura kita ni baik atau tidak dengan bela kucing kampung dan lihat adakah kucing itu senang suka dengan kita atau bila nampak kelibat kita ia lari lingtang pukang maka ada yang musykil dengan aura kita.

Menurut penulis itu, orang yang sukakan kucing seorang yang cukup penyayang, penyabar, pengasih dan cukup beradab. Orang yang tak suka kucing ? Yang bunuh kucing dengan cara masukan kucing dalam guni dan campak dalam sungai ? Bagaimana ? Menurut Dr Tuah, orang yang benci kucing memiliki hati yang tidak beres tetapi ketidakberesan itu terpendam dan tersimpan sebab anda tak ada peluang untuk melampiaskannya. Maka jadilah berperangai pelik-pelik. Mungkin tak pernah ceria! Mungkin suka mengatakan semua orang tak betul kecuali dirinya sahaja yang betul lagi benar. Cuba kita tengok orang disekeliling kita ? Mungkin patut kita suruh bela kucing kampung kot ?! Hebatkan ilmu kucing kampung ?

 
Nabi SAW juga suka kucing dan diriwayatkan seekor kucing pernah tidur di atas jubah yang dipakai oleh baginda, lalu baginda memotong jubah baginda bulat ikut kedudukan kucing. Cuba sesetengah dari kita ? Mahu mati terbunuh dikerjakan dengan batang penyapu. 

Err.. bila kucing suka keluar masuk bilik kita, adakah maknanya bilik kita besar kemungkinan umpama 'ladang' ternakan tikus ?


Friday, May 18, 2012

Tentang Kuch Kuch Hota Hai Yang Baru Saya Tahu


Hari ini hari Jumaat, kenapa pula saya buat entry tentang hiburan. Ini adalah entry 'terakru' yang dah lama pending dalam 'draf'. Dek kerana tumpuan harus lebih pada blog satu lagi, maka proses mengumpul hasil rapekkan untuk entry tajuk ini terbantut beberapa kali. Lagi satu sebab bila ‘angin’ kaki drama datang, haruslah bercerita tentang drama atau filem. Okey tak alasan begitu ?

Filem Kuch Kuch Hota Hai (KKHH) ini telah ditayangkan untuk kali kedua di televisyen pada 2012. Entry kali pertama mengenai filem yang ditayangkanya di TV3 pada 12 Februari  boleh baca disini. Kali ini TV2 telah menayangkannya pada hari Rabu 9 Mei 2012 lalu. Rating ? Tak Tahu. Dah 14 belas tahun filem ini namun setiap kali ditayangkan masih di minati. Malah melalui trending Twitter Malaysia menunjukkan ketika drama itu ditayangkan untuk kali kedua bagi tahun 2012 menunjukkan 3 nama berkaitan nama KKHH menduduki tangga ke atas dengan KKHH berada ditangga ke 5, Salman Khan ke-7 dan Anjali ke-9. Hebat bukan pengaruh filem ini ?

  
Ketika drama ini ditayangkan di pawagam pada 1998 saya berada ditingkatan 6 atas, demam KKHH bukan sahaja merebak dikalangan rakan-rakan yang berbangsa Melayu dan India, tetapi yang berbangsa Cina turut dijangkiti. Malah ketika saya memasuki dunia kampus pada Mei 1999 demam filem ini masih tak kebah. Masih ramai kawan-kawan perempuan yang memotong rambut ala-ala Anjali di kolej kediaman. Tapi tiada pula yang memakai jaket warna kuning macam Rahul Khana ke dewan kuliah.

Tak taulah apa ramuan istimewa filem ini. Tiada teknik pengambaran ala David Cameron pun, apa lagi 3D. Hanya cerita ringan. Itulah bahasa filem agaknya yang mengaangkat sejuta wajah manusia.
Kita baliklah ke tajuk asal di atas tu, macam  saya dan anda memang tahu apa  tentang KKHH ini. Ia macam filem Hindustan  yang lain, ada drama tangis menangisi, terutama yang perempuan. Rumah sebesar alam dengan tangga yang luas, punya dewan yang boleh memuatkan ramai penari-penari ( rasanya macam sama aje rupa rumah itu pada kebanyakkan filem Hindustan kan ? Video klip yang berlatar belakangkan permandangan yang sangat cantik. Lagi satu jangan lupa,  babak kejar mengejar dengan linangan air mata di stesyen keretapi.
Namun ada beberapa benda yang saya baru tahu mengenai KKHH ini. Antara yang baru saya tahu filem ini memenangi banyak anugerah pada tahun berkenaan. Boleh tengok sebahagian berkaitan anugerah yang dimenangi.
  • Filem ketiga yang memenangi 4 anugerah utama yang membabitkan kategori Best Movie oleh Yash Johar, Best Director oleh Karan Johar, Best Actor oleh Shahrukh Khan dan Best Actress oleh Kajol  dalam Anugerah Filmfare. Filem pertama yang memenangi 4 anugerah utama adalah Guide(1966),  filem kedua adalah Dilwale Dulhaniya Le Javenge (1995) (juga dibintangi oleh Kajol dan Shahruk Khan), disusuli oleh filem Devdas (2002) dan Black (2005).
  • Selain itu ia juga memenangi 13 lagi kategori lain, antaranya Best Supporting Actor oleh Salman Khan, Best Supporting Actress oleh Rani Mukerji, dan Best Lyricist oleh Samer untuk lagu "Ladki Badi Anjaani Hai dan Kuch Kuch Hota Hai
Lagi satu, saya baru tahu filem ini memang berlatar belakangkan cara hidup masyarakat dan Negara India tapi boleh melompat-lompat ke tempat lain. Contohnya dalam video klip itu, ia berlatar belakangkan bumi Scotland. Selain itu, walau jalan cerita menunjukkan mereka menuntut di Kolej St. Xavier (kalau tak silap saya kolej itu terletak di Kalkota) tapi pada awal babak ia sebenarnya dilakukan di sebuah kolej di Mauritius – Tapi sebab bila menonton filem ini ia seoalah-olah membawa kita ke dimensi dunia lain maka tiada sesiapa yang mempersoalkannya.
Hah! Scotland, India dan Mauritius saya belum pernah sampai. Hanya tahu melalui pembacaan dan Encik Google sentiasa berkhidmat untuk semua. Jadi, bolehlah semat dalam minda saya sekarang untuk sampai ke destinasi di atas.

Pada saya Kuch Kuch Hota Hai adalah filem yang sangat evergreen, begitu juga lagunya yang juga punya tajuk yang sama dengan filemnya dan dinyanyikan oleh Udit Narayan dan Alka Yagnik kat bawah ni. Secara peribadi saya bukan peminat filem Hindustan tapi pengaruh rakan sebaya buat saya menonton VCD filem ini, itupun selepas 2 tahun ia meletup di pawagam. Bila menonton kembali filem ini seolah-olah mengembalikan sedetik kisah zaman penuntut dulu.
Tum paas aaye, yun muskuraaye
(kau hampiri diriku, tersenyum manisnya)
Tumne na jaane kya sapne dikhaaye
(tanpa sedari kau berikan impian padaku)
Ab to mera dil jaage na sota hai
(kini hatiku tiada lagi terjaga atau terlena)
Kya karoon haye kuch kuch hota hai
(apa perlu ku lakukan, sesuatu terjadi dalam hatiku)
Kya karoon haye kuch kuch hota hai
 (apa perlu ku lakukan, sesuatu terjadi dalam hatiku)

Saya adalah mengedar Shaklee. Jemput lawat blog saya di http://azrinna-kiosk.blogspot.com. Saya boleh dihubungi di talian 012-6816979 atau email di noorazrinnapalil@yahoo.com.my

    Wednesday, May 16, 2012

    Tip Membeli Kediaman Idaman

    Apa beza perkataan RUMAH dan KEDIAMAN ? Dalam Kamus Dewan rumah itu Bersinonim dengan kediaman: panti, bait berek, rumah pangsa, pangsapuri, kondominium, apartmen, rumah teres, rumah berkembar, banglo, vila. Bagaimana mahu mencari rumah idaman ye ? Saya bukan ejen hartanah, apalagi penjual rumah, sekadar berkongsi melalui pembacaan sahaja. 
    Mungkin tip kat bawah boleh jadi panduan :-
    • Bila tengok iklan yang kita rasa berkenan dengan kawasannya, kena la cari dimana lokasinya. Paling mudah pergi saja ke pejabat syarikat pemaju perumahan berkenaan.
    • Perhatikan harga yang ditawarkan. Bandingkan harga dengan keluasannya. Bandingkan harganya dengan akses prasarana yang kita mahukan, contohnya adakah ia menghubungkan lokasi dengan tempat kerja dan jalinan lebuhraya yang paling hampir. Bandingkan juga harganya dengan kemudahan setempat, contohnya sekolah, kelas arobik, kelas belajar renang tempat membeli belah. Saya prefer perlu dekat dengan masjid juga. 
    • Dapatkan maklumat tentang keselamatan dan kawasan kejiranannya. Kot-kot lokasi itu sebenarnya  tempat jin bertendang atau harimau asah kuku !
    • Paling penting adalah bakal pembeli itu sendiri yang betul-betul suka dan mahu rumah itu. Kadang kala bukan harga yang menjadi hal, tetapi rasa ingin yang sungguh-sungguh untuk memiliki rumah itu paling perlu. Sebab bila kita berkeinginan maka kita akan berusaha mencari duit untuk mendapatkan kediaman impian kita.
    Setiap orang punya lokasi dan bentuk rumah yang diingini, ada yang suka rumah tengah, tepi, dua tingkat dan My Aiman suka dengan rumah Boboboi. Aku tak tau rumah Boboboi tu macamana rupanya!

    Saya adalah mengedar Shaklee. Boleh lawat blog saya di http://azrinna-kiosk.blogspot.com. Saya boleh dihubungi ditalian 012-6816979 atau email di noorazrinnapalil@yahoo.com.my
     

    Thursday, May 10, 2012

    Susu Sikit Sebab Ada Emas

    Sekadar mahu berkongsi tentang susuibu. Dah lama tidak menulis mengenainya. Jangan ada yang kata saya salah masuk entry. Nak masukkan di azrinna-kiosk termasuk kat sini. Tidak! Ia adalah disengajakan sama sekali. Sebab susuibu bukan untuk yang mengambil suplemen saja, tapi untuk semua ibu yang melahirkan dan menjadi hak semua bayi yang bari dilahirkan dimuka bumi ini. Tiada istilah susu sikit ke apa, yang paling penting ibu itu mahu. Harus diingat suplemen bukan membanyakkan susu, tetapi ia lebih kepada 'menjaga' diri ibu supaya lebih sihat, nampak lebih 'cun', ceria dan tak nampak macam sedang menyusukan jadi 'tingkahlaku ibu ini' ada kesan pada peningkatan penghasilan susuibu itu sendiri.

    Saya tertarik mahu berkongsi tentang susu yang dipanggil kolostrum yang hadir pada hari-hari pertama bayi dilahirkan. Sebab ramai ibu yang bertanya kepada saya, sejak lahir susu dah sikit. Memaglah sikit. Sebab tu hari-hari pertama bayi lahir susu digelar cecair emas kerana dah nama 'emas' memang sikit, berharga, warna jernih hingga kekuning-kuningan, dan paling penting ia penuh keajaiban yang memberi kekebalan terhadap segala virus, bakteria dan kuman yang berada di udara sebaik bayi dilahirkan. Jumlah pulak memang sedikit, cuma 20 - 30 ml sahaja tapi ia memang mencukupi kerana jika tak silap saya perut bayi yang baru lahir hanya mampu menerima 7ml susu sahaja sekali minum. Anda bayangkan jika bayi baru lahir di sua susu dalam botol yang bersaiz 4 oz ?

    Sebelum saya melalut dan merepek meraban, saya nak kongsi hasil pembacaan saya apa ada dalam kolostrum sehingga di gelar cecair emas ?
    • Tinggi protein, vitamin larut lemak (ADEK), zink dan sodium
    • Rendah laktosa (4%), lemak dan vitamin larut air (vitamin B complex dan vitamin C)
    • Tinggi vitamin K, penting bagi mengelakkan HDN (Haermorhagic Disease of Newborn)
    • Imunoglobulin (SigA) yang tinggi
    • Imunisasi pasif yang pertama bagi bayi
    • Kolostrum adalah pelawas 'laxative'. Ia menggalakkan pembuangan mekonium dan mengelakkan bayi daripada dijangkiti Jaundis Beonate (Neonatal Jaundice)
    • Mempunyai faktor 'bifidus' bagi menggalakkan pembiakan koloni 'Laktobacillus Bifidus'. Koloni bakteria ini menyebabkan keadaan usus berasid dan ini mengelakkan pembiakan koloni patogen E-Coli
    • Mempunyai enzim lipase, laktose, lisozim dalam keadaan aktif
    • Mempunyai anti oksida dan beta karotena yang penting untuk pembiakan sel-sel tubuh
    • Bagi bayi pra matang susuibu yang terhasil aalah berbeza secara automatik sebab ia mengandungi protein yang tinggi, Imunoglobin igA, laktoferin dan rendah laktosa khas
    Saya teringat tentang satu ceramah agama, tak ingat siapa yang sampaikan dan dimana, sebab dah lama sangat. Sah! Kena ambil Omega lepas ni. Tapi saya cukup teringat akan kata-katanya, "mahu jadi ibu kena bijak sana bijak sini" Jadi salah satunya adalah sentiasa menambah ilmu, tidak semestinya membaca, tetapi sekarang banyak sumber ilmu termasuk mendengar radio. Sambil-sambil 'melayan' mukabuku juga boleh menambah ilmu melalui forum-forum. Jadi salah satunya adalah menambah ilmu mengenai mengapa penyusuan susuibu itu penting dan mengapa saya mahu menyusukan bayi saya ?


    Saya adalah mengedar Shaklee. Boleh lawat blog saya di http://azrinna-kiosk.blogspot.com. Saya boleh dihubungi ditalian 012-6816979 atau email di noorazrinnapalil@yahoo.com.my


    Friday, April 27, 2012

    Kerja Apa ?

    Entah untuk kali ke berapa saya ditanya,
    " Kerja cikgu ke ?" 
    Dan untuk kesekian kalinya saya hanya tersenyum. Sebab dah tak larat mahu jawab. Ada muka cikgu ke aku ni ? Kawan-kawan baik saya selalu cakap, "muka kau garang !". Selalu saya tertanya-tanya, perlukah cikgu bermuka garang baru anak murid takut? Kalau saya punya air muka garang, mengapa selalu kena buli dengan 'situasi'?
    "Kau ni banyak songeh lah Rin!" kata kawan saya.

    Kerja cikgu tu mulia. Benar, mendidik anak bangsa memerlukan satu jiwa yang benar-benar tulus. Ingat pesan seorang sahabat, katanya sejak dia jadi guru, Solat Tahajjud tak pernah ditinggal, katanya, "Mudah-mudahan hati aku tenang selalu untuk tumpahkan ilmu, agar anak didik mudah faham dan dapat serap setiap ajaran terus ke hati yang paling dalam"

    Saya selalu menganggap kerja apa sahaja yang halal dari segi agama dan mata masyarakat adalah mulia. Asalkan dilakukan dengan cara yang mulia. Tidak hanya mulia pada luaran sahaja. Kalau dalam aspek kitaran sosiologi pekerjaan apa sahaja dalam dunia ini tak kira halam atau haram tetap diperlukan dan saling berkait antara satu pekerjaan dengan pekerjaan yang lain. Contohnya kalau tiada penyamun tarbus, maka tak ada polis, peguam, pegawai penjara dan sebagainya.

    Teringat saya seorang teman sebilik ketika zaman remaja gedik dulu. Setiap kali melintasi tukang kasut di kaki lima jalan, dia akan membongkokkan badannya. Lalu saya bertanya " Kenapa engkau buat macam tu?"
    Jawabnya.

    gambar dari google. Gambar adalah hiasan sahaja.
     "Aku hormat dia, sebab mana tau kerja dia lebih mulia, rezeki dia lebih berkat dari kita!"





    Friday, April 20, 2012

    Bicara Sang Alam

    Menurut pengkisahan dalam Sulalatus Salatin, ketika Tun Mamad sampai di taman bunga di puncak Gunung Ledang beliau telah disambut oleh nyanyian, pantun seloka berbentuk  sindiran oleh fauna dan flora . Sebab ‘mereka’ tahu akan hajat kedatangan  Tun Mamad, iaitu untuk meminang Puteri gunung Ledang bagi pihak Sultan Mahmud Shah. Lalu berpantunlah Si Bunga Tanjung berbunyi :

    Dang Nila memangku puan,
    Berembang buah pedada
    Adakah gila bagimu tuan,
    Burung terbang dipipiskan lada

    Iyelah burung terbang kita yang kat bawah dah siap-siapkan rempah. Tapi kalau yang loyar buruk pasti akan berkata,
    " Tak dapat burung, ayam kan banyak kat pasar !"
    Tapi saya betul-betul mahu merealisasikan burung masih terbang, rempah sudah siap, dan burung tu boleh di capai dengan tangan saja. Tak payah minta bertolongan adiwira untuk tangkap burung tu.Tak kiralah Superman ke, Ultraman ke!-Mereka tidak diperlukan dalam ini cerita.

    Cuba tengok gambar kat bawah. Betulkan burung tu sedang terbang sambil melakukan conner baring ala-ala Mat Rempit sambil menyanyikan lagu “Tapi bagaimana nak ku katakan padanya", lagu Spider untuk  Si burung kakak tua. 
    Betulkan burung tu boleh capai dengan tangan ? Sebab pokok sawit tu rendah aje.

    Tapi tahukan anda burung ini sebenarnya tidak terbang. Apa lagi sedang buat conner baring. Cuba tengok gambar ini pula. Jelas? Perasan tak hujung sayapnya tidak kemas. Sebenarnya burung ini tersangkut pada benang. Saya cuba untuk edit, supaya nampak benang layang-layang tu.  Sangat halus, gagal melalui proses edit (atau sebenarnya mungkin saya yang tidak pandai edit).Realtinya saya pun tak nampak benang layang-layang tu, bila dah dekat baru nampak.

     
    Lalu dari kita sangka ia menyanyikan lagu Tapi Bagaimana bertukar kepada lagu ini “Tuhan tolonglah lembutkan hati dia...” lagu Ombak Rindu, tapi bukan dari Adira dan Hafiz, tapi versi  Ajek Hassan dengan petikan gitarnya. Sejak bila pulak aku minat Ajek Hassan ni ?!

    Jangan sangka saya betul-betul pipiskan lada burung ni. Aku tak tegar mau makan! Sedangkan puyuh pun bak lagu Jaclyn Victor “sebelah jiwaku” ini kan pula burung kecil ini. Lepaskan ia. Sebelum tu, beri makan nasi. (Nasik ko! tak agak-agak! Dasar Jiwa Jawa, asal orang datang, bagi aje nasi! Orang datang bagi makan nasi ! Kenyang!) Air jangan lupa, ada tercekik burung tu! Lepas tu bebaskan ia. 

    Selepas itu, adalah 2, 3 kali spesis burung yang sama turun berlegar-legar di dapur. Mungkin burung yang sama. Kali ini datang bersama kawan-kawannya. Mungkin mahu ucap terima kasih. Atau mahu mintak nasi kot!

    Cerita ini bukan mahu tunjuk baik. Sekadar kisah kehidupan. Saya cuma percaya kalau kita nak buat baik, tak semestinya pada manusia. Juga pada ‘kehidupan’ sekeliling kita. Bukanlah bermaksud jika nampak lipan kita tak bunuh dengan alasan kasihan…. Itu cari pasal namanya. 

    Saya teringat satu cerita seorang pak cik ketika pertama kali saya memandu. Katanya jika sedang memandu,  ternampak bangkai binatang dijalan raya jika mampu mengelak, elaklah ia. Sebab kereta kita juga ada ‘nyawa’, jika sudah biasa kita langgar bangkai, kelak ia sendiri akan menuntut nyawa!

    Bagaimana JIKA  manusia yang mengaku teguh pada pegangan Islam boleh masukkan anak kucing ke dalam guni lalu dicampak dalam parit.  Mana hati mana perut? Bukan satey perut. (Eh! Lama kan tak cerita tentang satey. Coming soon……  
    Sekadar kongsi tentang apa yang saya baca, haiwan dan serangga itu berzikir Astaghfirullah dan Allahuakbar dan bertasbih Subhanallah. Manakala gunung, hutan dan laut bertasbih dan bertahlil Laillahaillaallah.

    Manusia ? Bila masa pula manusia ini bertasbih dan bertahlil ?

    Baiklah. kita akhiri cerita hari ini dengan balasan pantun dari Bunga Telipuk :

    Kuning Ledang bagai dikarang
    Riang-riang di sambar wakab
    Hairan memandang dunia sekarang
    Bayang-bayang hendak ditangkap